Pendekatan itu telah lama digunakan oleh musuh-musuh Islam demi melanyakkan kesedaran Islam dalam jiwa setiap penganutnya. Pendekatan itu jugalah yang telah merendah-rendahkan hati setiap mu'min untuk kembali menjadi hanya muslim, dan seterusnya menjadi insan terabai yang hanyut dek arus deras duniawi. Pendekatan itu jugalah yang menghancurkan bumi Palestin yang kini dirobek hebat oleh manusia-manusia pencinta dunia. Pendekatan itu jugalah kini bermaharajalela dalam hati individu-individu muslim di mana-mana sahaja.

Hari itu, sukar untuk aku berterus-terang. Juga mungkin susah untuk sahabat-sahabatku. Namun hati ini amat yakin yang aku dan mereka, serta kami tidak punya waktu. Mereka harus disedarkan!

Era Nubuwwah
Tercipta sejarah ketamadunan manusia bermula dari Nabi Adam as. Perkongsian hidup bersama Hawa memberi kelahiran kepada Habil yang dibunuh Qabil, Iqlima yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding Labuda. Manusia dikembang-biakkan dan kitalah Bani Adam.

Penghasilan teknologi bukanlah calang-calang. Kebolehan manusia menulis pada hari ini diasaskan oleh Nabi Idris as. Nabi Nuh as membuktikan kewujudan pemikiran teknologi yang tinggi dengan penghasilan bahteranya yang menyelamatkan hampir 100% jenis species hidupan yang terdapat di dunia hari ini.

Melewati sirah kenabian lagi, dapat dilihat susah-payah kehidupan Nabi Ibrahim as yang mendambakan kelahiran anak bersama Sarah dan Hajar. Dengan kuasa Allah, Hajar yang dicintai melahirkan Nabi Ismail as. Jerih payah dua orang rasul ini ditambah-kuatkan oleh bantuan adinda Ismail, Ishaq as dan Yaakub as. Yaakub menaungi Bani Israel dan anaknya, Yahuda mengasaskan Bani Yahudi.

Nabi Musa juga mempunyai sejarah tersendiri dan kesanggupannya menghadapi Fir'aun wajar menjadi pengajaran buat semua. Sejarah Maryam menjadi titik tolak kehidupan Nabi Isa as yang al-Masih yang diagung-agungkan oleh penganut kristian sebagai salah satu elemen dalam kepercayaan trinity mereka walhal tiada pernah Jesus Christ itu mengakui dirinya adalah tuhan, anak tuhan atau apa-apa sahaja yang berkaitan ketuhanan, sebaliknya mengaku sebagai pesuruh Allah swt.

Akhir zaman menjadi penyaksi kehebatan seorang rasul kekasih Allah swt yang bernama Muhammad saw. Hari-hari manis yang dilalui al-Amin ini cukup mematangkan baginda untuk menggalas beban dan memikul tanggungjawab memperjuangkan risalah Allah swt. Sejurus perlantikannya sebagai Rasulullah, bermulalah kerahmatan alam.

Pernah dilemparkan najis, pernah dicerca dan dimaki, itu semua bukanlah penghalang. Padanya Allah adalah segala-galanya. Sahabat-sahabat juga begitu. Sumayyah menahan sengsara, menemui maut sulaan tapi hati tidak kecewa. Bilal tiada gentar. Batu yang menindih bukanlah menjadi sebab untuk berkata 'tidak' kepada Islam. Wanita seindah Fatimah bertatih lemah di dunia fana, namun megah bak bidadari syurga kerana kemantapan aqidahnya. Umar bertindak sebagai singa menumpaskan jiwa-jiwa yang ingin menudukkan Islam ke bumi. Hamzah membina kekuatan tubuh badan menyentap ruh-ruh yang memusuhi Muhammad. Ibnu Makhtum yang buta itu memangku pemerintah Madinah sewaktu hanya umur mudanya. Ada duri yang tajam, menikam sanubari. Ada selumbar berbisa yang mengorek hati bersahaja. Ada manusia durjana membelah keinsafan manusia. Ada lilin seksa yang menyelaputi hati manusia supaya titisan hidayah tidak diperkenankan. Tetapi jiwa-jiwa mantap penanggung risalah Islam dalam sirah ini bukanlah senang dirobek. Islam di hati dan jiwa, Islam dalam ruh, bukan pada jasad yang diseksa.

Era Khulafa' ar-Rashidin
'Aisyah menjadi penyuluh kegelapan muslimin sejurus kewafatan Baginda. Abu Bakr, memperjuangkan risalah ini dengan sensitiviti yang tinggi. Memerangi riddah dan sebagainya. Umar meyakinkan antara yang haq dan batil. Uthman bin Affan meneruskan pentadbiran dan begitu jualah Ali bin Abi Talib.

Hari itu kami mencuba. Ingin menanyakan setiap antara kita. Adakah kau lupa? Adakah kau lupa Islam gemilang dahulu?

Adakah kau lupa sirah Islam ini?
Islam gemilang. Jatuhnya menyedihkan setiap hati yang mencintai Islam ini. Adakah Islam yang gemilang itu milik 'Aisyah semata-mata? Adakah itu milik Mashitah? Adakah itu milik Khalid al-Walid? Milik Ikrimah Abu Jahl kah? Milik al-Qa'qa' kah? Milik Mus'ab bin Umayr kah? Adakah kita hanya mahu melihat dengan mata yang dibutakan? Adakah kita hanya mendengar dengan telinga yang dipekakkan? Adakah kita hanya melisankan apa yang tidak benar? Islam itu dan ini milik kita. Islam itu dan ini Islam yang sama. Sedarilah Islam yang sama itu adalah Islam yang kita anuti ini.

Ayuh bangkit wahai saudaraku!
Pernah suatu masa diri ini ditanya. "Apakah sumbangan aku yang kerdil ini mampu merubah? Tak signifikan." Namun, sirah 1400 tahun dahulu telah pun memberikan jawapan. Aku tidak gentar mentuntaskan penerangannya. Sedarlah wahai saudara, Islam dahulunya bermula dengan seorang sahaja. Ya, Muhammad saw. Seorang diri. Dirinya yang mantap, berusaha memantapkan insan lain.

Pendekatan yang telah digunakan oleh kafirun juga perlu dimatikan. Sungguh licik mereka memanipulasi pemikiran kita. Sungguh bijak mereka mempermainkan pemikiran generasi muda Islam kini. Ayuh buktikan wahai saudaraku, buktikanlah bahawa mereka tidak cukup cemerlang untuk mempergunakan kita yang sedar ini!

Maka, apa tugas kita?
Usah difikirkan tentang da'wah kerana itu bukanlah tema penulisan ini. Seruan ini adalah seruan memantapkan diri. Allah telah menuliskan qada' dan qadarnya. Kita di sini perlu bertindak mengiktu sunnatullah. InsyaAllah, usaha kita memperbaiki diri menjadi saksi untuk kita ke syurga bersama nanti, insyaAllah.

Alhamdulillah, Adelaide Autumn Gathering 2008 telah dijayakan, dan bersamanya kami meluahkan harapan. Kami berusaha walau sukar, sekarang tiba masanya untuk kamu bertindak.

Shift your paradigm, please.
Wallahu a'lam.

3 Comments:

  1. alonq_exe said...
    Alhamdulillah, ada update.
    Mantap sahabat saya yang seorang ni sekarang yek. Syukur2.

    Ni antara pengisian masa adelaide gathering ek?
    Anonymous said...
    How about changing the 'your' to 'our'.

    Bukankah risalah ini kita tanggung bersama?
    MusafiR said...
    to anonymous:

    Risalah itulah yang menggunakan fi'il amar "Shift your paradigm" kepada insan..

    ..dan kitalah insan.

Post a Comment




 

Blogger Templates. Sponsored by Crossword Puzzles