sunflower

Telah diketahui umum, pergaulan sesama insan yang baik adalah hasil atau buah dari budi pekerti yang mulia dan juga telah dimaklumi, pergaulan yang buruk adalah buah dari pokok budi pekerti yang keji. Budi pekerti yang mulia adalah tonggak agama. Allah s.w.t telah memuji Muhammad Rasulullah s.a.w dengan firmanNya:
"Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang besar (mulia)." (al-Qalam: 4)

Rasulullah s.a.w juga telah meninggikan darjat insan yang berpekerti mulia dengan sabda baginda:

"Sesungguhnya orang yang paling hampir kedudukannya kepadaku adalah orang yang paling baik budi pekertinya, bersikap merendah diri dan senang bermesra dan dimesrai." (Hadith Rasulullah s.a.w)


Tatacara pergaulan, pergaulan dan persahabatan mengikut landasan Islam:

i. Jangan memandang rendah, kecil atau hina kepada sesiapapun, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. kerana kita sebenarnya tidak mengetahui nasib kita di belakang hari. Sekiranya seseorang itu fasiq atau lain-lain, usah dibicarakan kerana kita seharusnya bimbang tentang diri sendiri, kerana tidak mustahil kita terpesong ke arah yang sama pada hari muka.

ii. Usah menilai manusia mengikut nilai duniawi, sama ada daripada aspek rupa paras, ilmu duniawi, harta benda, pangkat atau apa-apa sahaja yang berkaitan dunia.

iii. Jangan menentang kawan sehingga menimbulkan permusuhan. Cuba sebaik mungkin untuk berbicara sebaik-baiknya.

iv. Jangan mudah leka dengan pujian dan terlena dengan kemesraan yang diluhurkan secara manis muka yang ditunjukkan kerana kita tidak mengetahui apa yang berlegar di fikirannya dan bertakhta di hatinya.

v. Jangan terlalu mudah menceritakan kesusahan dan permasalahan diri kita, kerana dikhuatiri dia turut bersusah hati.

vi. Jangan mengharapkan orang bersikap sama seperti berada di hadapan kita apabila berada di belakang kita. Harapan ini hanya sia-sia.

vii. Jangan berharap untuk memiliki sesuatu yang berada dalam genggamannya secara hasad dengki.

viii. Jangan membuang terlalu banyak masa memberi nasihat kepada insan yang tidak mahu mendengar nasihat daripada kita. Berikan kesempatan ini kepada individu yang lebih selesa bersamanya.

ix. Serahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t jika terdengar ada cacian tentang kita, di belakang kita, oleh kawan kita sendiri.

x. Waspadalah untuk berkawan dengan semua peringkat umur manusia kerana tidak semua orang memaafkan kekhilafan, mengampunkan kesalahan dan menutup keburukan.

xi. Jangan segera menyatakan kecintaan kepadanya. Puji mereka terlebih dahulu dan setelah mengetahui reaksi dan kerenahnya, barulah menyayanginya kerana Allah s.w.t. Selepas itu barulah nyatakan kecintaan kamu itu.

Sumber: Bimbingan Mu'min, Buletin Tarbiah, Badan Dakwah dan Tarbiah Islamiah (BADATI), Maahad Muhammadi lil Banat, Kelantan.

0 Comments:

Post a Comment




 

Blogger Templates. Sponsored by Crossword Puzzles